Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Alishahrin Haji Mumin
TUTONG, Isnin, 19 Mei. - Kepentingan akal dalam memperkembangkan potensi diri seseorang merupakan wadah utama yang perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti dari semua sudut duniawi dan ukhrawi.
Dengan mengaplikasikan Maqasid memelihara akal, maka potensi akal dapat diperkembang secara yang lebih konstruktif. Hal ini merupakan antara kunci yang menjadi faktor kebangkitan sesebuah negara dalam mendepani cabaran global yang menjadi tanda aras kemajuan negara.
Perkara tersebut merupakan inti pati yang diutarakan dalam Jerayawara Penghayatan Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah bagi Daerah Tutong yang diadakan bertempat di Dewan Besar, Ma'had Islam Brunei, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai; Pemangku Ra'es Kolej Ugama Perguruan Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad; pegawai-pegawai eksekutif dan pegawai-pegawai utama KUPU SB; pegawai dan kakitangan kerajaan; para guru dan penuntut-penuntut sekolah.
Jerayawara bertemakan 'Aplikasi Maqasid Memelihara Akal Dalam Pembangunan Modal Insan Menurut Al-Quran' itu mengetengahkan tiga ahli panel iaitu Profesor Madya Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan KUPU SB, Profesor Madya Dr. Muhammad Zahiri bin Awang Mat; Profesor Fakulti Syariah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Dato' Dr. Haji Zulkifli bin Haji Muda dan Profesor Madya Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPU SB, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusuf Khalid.
Jerayawara dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohd. Jaya bin Haji Metusin.
Jerayawara kelolaan Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama'ah KUPU SB dan Jabatan Daerah Tutong, KHEDN dengan kerjasama UNISSA ini antara lain bertujuan menjelaskan kefahaman Maqasid pemeliharaan akal menurut Al-Quran, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengaplikasi Maqasid pemeliharaan akal dalam pembangunan modal insan menurut Al-Quran.
Jerayawara turut diserikan dengan pameran daripada Pasukan Polis Diraja Brunei dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU.